Oh Melayu! Jangan Lupa Diri!

December 31, 2010 Leave a comment

Dato’ Dr Usman Awang pernah berdendang dalam sajaknya:

“Melayu Bangsaku… Tercinta”:

 

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

 

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut

Biar mati adat

Jangan mati anak.

 

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu,

Bugis itu Melayu,

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani,

semua Melayu.

Mamak dan Malbari serap ke Melayu,

Malah muaalaf bertakrif Melayu.

 

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan.

 

Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual

 

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

 

Berbuahlah pisang tiga kali

 

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

 

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

 

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

 

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut.

 

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran”


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

 

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

 

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

 

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

 

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka!

 

One Poor African

November 12, 2010 Leave a comment

One poor African says :

“I know poverty because poverty was there before I was born and it has become part of life like the blood through my veins.

Poverty is not going empty for a single day and getting something to eat the next day.

Poverty is going empty with no hope for the future.

Poverty is getting nobody to feel your pain and poverty is when your dreams go in vain because nobody is there to help you.

Poverty is watching your mothers, fathers, brothers and sisters die in pain and in sorrow just because they couldn’t get something to eat.

Poverty is hearing your grandmothers and grandfathers cry out to death to come take them because they are tired of this world.

Poverty is watching your own children and grandchildren die in your arms but there is nothing you can do.

Poverty is watching your children and grandchildren share tears in their deepest sleep.

Poverty is suffering from HIV/AIDS and dying a shameful death but nobody seems to care.

Poverty is when you hide your face and wish nobody could see you just because you feel less than a human being.

Poverty is when you dream of bread and fish you never see in the day light.

Poverty is when people accuse you and prosecute you for no fault of yours but who is there to say some for you?

Poverty is when the hopes of your fathers and grandfathers just vanish within a blink of an eye.

I know poverty and I know poverty just like I know my father’s name.

Poverty never sleeps.

Poverty works all day and night.

Poverty never takes a holiday.”

T.T

This picture is killing me…

Satu gambar membawa seribu cerita………………..

Categories: Aku Insaf!!

Mencari Lailatul Qadar

September 3, 2010 Leave a comment

Beberapa Info Berguna Berkenaan Malam Al-Qadar

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

Ertinya : “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan”  (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : ” Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya

Malam Al-Qadar Indah Bagi Orang Beriman

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : ” Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

carilah malam alqadar dengan ikhlas dan amal

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu’ 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : “Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan ‘portion’ atau bahagian akhirat apabila di tambah “selamatkan dari api neraka”. Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “”Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka” ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : “Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : ” Sebutlah doa ” Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”

Mestikah Mendapat Tanda ?

Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya…” ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami’ Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-

  • 1) Berzikir
  • 2) Berdoa
  • 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
  • 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Categories: Artikel Pilihan, Hukum, Ilmiah

Kesilapan yang Sering Dilakukan Semasa Berpuasa

September 3, 2010 Leave a comment

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan’ ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT. Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : “sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu” (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. “Sahur” itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : ” dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar” (Az-Zariyyat : 18) يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة Ertinya : “Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :” Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu” ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)


4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’ pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.

Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat”. (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami’ as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur.

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren’ yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)


10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan ‘tanpa Syaitan’ ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain. Nabi Muhammad menceritakan :- ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih) Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.


12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam.

Nabi SAW telah menyebut :- ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم Ertinya : “Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi” ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد Ertinya : “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak” ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih). Sekian Zaharuddin Abd Rahman.

Categories: Artikel Pilihan, Hukum, Ilmiah

Resepi Makanan Untuk Minda Kanak-Kanak (Untuk Orang Dewasa Pun Boleh)

June 19, 2010 10 comments

Petikan dari pengalaman seorang ibu yang mempunyai anak yang telah selesai menghafaz 30 surah terakhir dalam Al-Quran semasa umurnya 3 tahun.

Berkongsi Resepi Makanan Untuk Minda Kanak-Kanak

Kali ini saya ingin berkongsi resepi saya pada sesiapa yang berminat. Ia sebenarnya khusus untuk ibubapa yang percaya akan makanan yang baik boleh membentuk minda anak kita yang baik. Apa yang diperlukan untuk resepi ini ada 9 perkara:

1) Kacang Badam (Almond) Ia terkenal kerana kandungan minyaknya. Ia juga makanan yang diwajibkan untuk para hufaz dari negeri Timur Tengah. Saya juga diberitahu, orang Yahudi membiasakan anak mereka meminum susu badam suam pada setiap hari.

2) Kismis Bahan ni memang orang kita dah kenal kebaikkannya hingga mereka boleh gelar kismis Minda.

3) Minyak Ikan Saya guna jenama Pristin kerana kandungan Omega 3 – DHA dan EPAnya yang paling tinggi di pasaran Malaysia iaitu 5 kali ganda dibanding dengan yg rendah. Saya rasa semua ibu2 tahu akan kegunaan minyak ikan dalam membentuk otak bayi sebelum bayi lahir lagi.

4) Kurma Ia satu buah yang tercatat dalam sejarah dimana Saidatina Maryam ‘Alaihissalam ketika mahu melahirkan Nabi Isa ‘Alaihissalam dirakam di dalam Al Quran; ‘Dan gegarlah kearahmu batang pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak, maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan. Al Quran (17) Surah Maryam (Ayat 25-26)

5) Madu Madu kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera. Para penyelidik menggelar madu sebagai agen untuk mencerdaskan otak. Sabda Rasulullah s.a.w. Barangsiapa yang menjilat Madu sebanyak tiga kali pagi setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar (penyakit yang berbahaya) (Riwayat Ibnu Majah)

6) Habbatus Sauda Sabda Rasulullah s.a.w. “Tetaplah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya adalah penawar segala jenis penyakit melainkan as Sam. Para sahabat bertanya “Ya Rasulullah, apakah itu as Sam..? Jawab Rasulullah s.a.w “As Sam itu adalah mati..”

7) Buah Tin Allah berfirman “Demi buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan Negeri (Makkah) yang dijadikan aman..” Al Quran (95) Surah At Tiin (Ayat 1). Sabda Rasulullah s.a.w. Makanlah kamu semua darinya (Buah Tin), sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku kata ‘inilah buahnya’. Ini kerana buah syurga tiada keraguan. Sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan manfaat bagi sendi-sendi” Hadis riwayat Abu Daud, Abu Darda, Suyuti.

8 ) Ekstrak Daun Zaitun Olive Oleo Melancarkan penghantaran nutrien-nutrien dari bahan bahan diatas ke dalam darah dan seterusnya ke otak. Ia juga adalah anti bakteria, anti fungus dan anti virus. Resepi ini tidak memasukkan sebarang bahan awet selain dari ekstrak daun zaitun ini. Pohon Zaitun adalah pohon yang diberkati seperti sabda Rasulullah s.a.w. “gunakan sari zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati’ Riwayat at Tarmizi dan Ibnu Majah”

9) Air Surah Taha Air biasa yang dibacakan AlFatihah (1 kali) dan Surah Taha, Ayat 1 – 23, 11 kali. Ia adalah makanan rohani yang akan melembutkan hati kanak-kanak degil dan melancarkan pemikiran mereka. Ia adalah doa Nabi Musa untuk memohon kebijaksanaan.

Lihat urat2 pada kacang badam.. ia mirip kepada rupa urat-urat otak kita. Saya pernah terbaca (lupa dimana), Ini adalah kejadian Allah untuk memberitahu kita kegunaannya pada manusia.

Badam, Kismis, Kurma dan Buah Tin di blender halus. Tips : Habbatus Sauda dan Buah Tin di masukkan sedikit sahaja kerana jika terbanyak, ia akan menyebabkan ‘funny taste’…tak sedap. Sukatannya, agak-agak saje. Boleh buat ikut suka tangan kita..

Emm.. My favourite! Ni suapan yang ketiga ni! Bila dah siap, boleh makan terus, amalkan 2-3 sudu sehari.

Kanak-kanak belum banyak gigi pun dah boleh amalkan. Dalam bekas diatas, saya telah masukkan 3 kapsul minyak ikan berkepekatan tinggi. Darwish dan Wisya memang suka memakannya. Rasanya penuh dengan lemak kacang badam dan manisnya madu lebah. Cara mudah untuk memberi makanan sunnah yang banyak kebaikkannya pada otak beserta dengan minyak ikan!

Categories: Artikel Pilihan, Ilmiah

Millat Facebook

June 2, 2010 1 comment


ISLAMABAD: Sekumpulan warga Pakistan mencipta laman web baru untuk menghubungkan 1.6 bilion Muslim selepas berang dengan laman Facebook kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad selain mewujudkan saluran baru melawan propaganda anti-Islam.
Kumpulan itu membabitkan enam profesional teknologi maklumat (IT) di pusat budaya dan hiburan Pakistan, Lahore, yang melancarkan laman web Millatfacebook, awal minggu ini.

Ia dilancarkan selepas mahkamah Pakistan mengarahkan sekatan ke atas Facebook sehingga Isnin ini atas bantahan terhadap satu laman Everyone Draw Mohammed Day (Hari Lakar Muhammad) yang menghina Islam.

Millatfacebook dicipta bagi memenuhi keperluan sosial penduduk Pakistan. Laman untuk Muslim termasuk orang lain yang baik daripada agama lain turut dialu-alukan,” kata laman web itu kepada yang berminat menjadi ahli.

“Kami mahu beritahu ahli Facebook bahawa mereka akan terima padah jika mengganggu kami,” kata Ketua Pegawai Operasi syarikat yang menempatkan laman itu, Usman Zaheer, 24.

“Jika ada orang menghina nabi, kami akan jadi lawan mereka dan menyebabkan mereka rugi besar,” katanya yang bermimpi menjadikannya laman sosial terbesar Muslim.

Dikenali dengan singkatan MFB, seperti juga FB bagi Facebook, pengasasnya berkata, pakar IT kini berusaha memasukkan ciri-ciri lain ke dalamnya bagi mencabar pesaing dari California itu.
Setiap ahli memiliki ‘dinding’ untuk ulasan sahabat selain mengandungi kemudahan emel, foto, video, ruang sembang dan perbincangan.

Perkataan ‘Millat’ adalah bahasa Urdu yang biasa digunakan untuk merujuk kepada negara. Laman web itu sudah mempunyai 4,300 ahli selepas tiga hari dilancarkan, kebanyakannya warga Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris dalam lingkungan usia 20-an.

Angka itu jauh lebih kecil daripada keahlian Facebook di Pakistan buat masa ini sebanyak 2.5 juta dan ulasan awal menunjukkan MFB memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar menyaingi FB.

Bagaimanapun, Usman gembira dengan hasil awal laman web itu yang sudah menarik penyertaan warga Britain, Bulgaria, Kanada, China, Russia, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. – AFP

Millatfacebook

SELAMAT MENGHADAPI IMTIHAN !!!

May 7, 2010 Leave a comment

Salam ceria buat semua.

Nampaknya blog saya ni dah berserawang di sana sini setelah 2 bulan dibiarkan tanpa isi dan isu baru. Maafkan saya jika kalian menantikan post yang berkualiti kerana buat masa sekarang, saya tidak dapat memenuhi keinginan kalian lantaran sibuk dengan imtihan yang tersangatlah dekat.

Maka saya berazam akan kembali mengencangkan blog ini dengan post-post yang berkualiti apabila berakhirnya imtihan, insyaAllah jika masih diizinkan menghirup udara di muka bumi Allah ini.

Saya juga ingin memohon jutaan kemaafan daripada pembaca sekalian jika saya ada melakukan sebarang kesalahan. Maafkanlah diri yang hina ini dan silalah tegur saya dengan cara yang baik. Marilah kita sama-sama berdoa agar dapat berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, selamat membuat ‘pembedahan’ dan mengeluarkan semua ‘organ-organ’ yang penting dari dalam setiap buku yang kita baca. Gunakan masa yang amat terhad ini dengan bijaksana tanpa mengabaikan hubungan bersama Allah dan sesama manusia.

Berhati-hatilah ketika membaca dan menjawab soalan. Gunakan kekuatan minda kita sepenuhnya. Jangan karang ayat yang meleret dan berulang-ulang kerana masa yang diberi amat singkat, sebaliknya bersedialah dengan rangkap perkataan yang lebih ringkas, sedap, padat dan betul.

Tiada ubat yang lebih mujarab untuk berjaya selain berusaha dengan sehabis-habisnya!

Itu sahaja motivasi yang mampu saya selitkan di sini. Setelah berusaha, bertawakkallah dan berdoalah dengan sepenuh pengharapan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Akhir sekali selamat menjawab peperiksaan. Selamat maju jaya!!!

p/s: Saya akan mula ‘berperang’ dengan ujian lisan/syafawi pada 19 & 20 Mei ini dan akan mula menjawab soalan bertulis/tahriri pada 24/5, 31/5, 7/6, 14/6 & 24/6 . Tolong doakan saya dan kawan-kawan ya! Terima kasih!!!

Categories: Motivasi, Suka Duka Hidup