Archive

Archive for the ‘Suka Duka Hidup’ Category

SELAMAT MENGHADAPI IMTIHAN !!!

May 7, 2010 Leave a comment

Salam ceria buat semua.

Nampaknya blog saya ni dah berserawang di sana sini setelah 2 bulan dibiarkan tanpa isi dan isu baru. Maafkan saya jika kalian menantikan post yang berkualiti kerana buat masa sekarang, saya tidak dapat memenuhi keinginan kalian lantaran sibuk dengan imtihan yang tersangatlah dekat.

Maka saya berazam akan kembali mengencangkan blog ini dengan post-post yang berkualiti apabila berakhirnya imtihan, insyaAllah jika masih diizinkan menghirup udara di muka bumi Allah ini.

Saya juga ingin memohon jutaan kemaafan daripada pembaca sekalian jika saya ada melakukan sebarang kesalahan. Maafkanlah diri yang hina ini dan silalah tegur saya dengan cara yang baik. Marilah kita sama-sama berdoa agar dapat berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, selamat membuat ‘pembedahan’ dan mengeluarkan semua ‘organ-organ’ yang penting dari dalam setiap buku yang kita baca. Gunakan masa yang amat terhad ini dengan bijaksana tanpa mengabaikan hubungan bersama Allah dan sesama manusia.

Berhati-hatilah ketika membaca dan menjawab soalan. Gunakan kekuatan minda kita sepenuhnya. Jangan karang ayat yang meleret dan berulang-ulang kerana masa yang diberi amat singkat, sebaliknya bersedialah dengan rangkap perkataan yang lebih ringkas, sedap, padat dan betul.

Tiada ubat yang lebih mujarab untuk berjaya selain berusaha dengan sehabis-habisnya!

Itu sahaja motivasi yang mampu saya selitkan di sini. Setelah berusaha, bertawakkallah dan berdoalah dengan sepenuh pengharapan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Akhir sekali selamat menjawab peperiksaan. Selamat maju jaya!!!

p/s: Saya akan mula ‘berperang’ dengan ujian lisan/syafawi pada 19 & 20 Mei ini dan akan mula menjawab soalan bertulis/tahriri pada 24/5, 31/5, 7/6, 14/6 & 24/6 . Tolong doakan saya dan kawan-kawan ya! Terima kasih!!!

Categories: Motivasi, Suka Duka Hidup

Sudah 7 Bulan

October 17, 2009 Leave a comment

Alhamdulillah. Pejam celik, pejam celik, semalam, 16 Oktober 2009 sudah 7 bulan saya dan suami mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada Allah kerana dengan izin-Nyalah kami selamat disatukan. Terasa cepatnya masa berlalu, seolah-olah baru tadi saya mendapat mesej dari abang saya “esok rombongan meminang akan datang.” Mulai saat itulah, hati ini sudah mula bergetar, kerana saya tahu, saya perlu menyiapkan diri ebaik mungkin untuk memasuki alam baru. Alhamdulillah pada 1 Muharram 1430 H bersamaan 29 December 2008 kami selamat bertunang dan pada 16 Mac 2009 bersamaan 19 Rabi’ulawal 1430 H kami pun selamat bernikah. Majlis walimatul ‘urus dilakukan di hari yang sama. Selaut ucapan JAZAKUMULLAH KHAIRAN JAZA’ kami ucapkan kepada warga KPP yang sudi bertungkus-lumus mengadakan majlis kenduri kami di Rumah Perlis. Sokongan dan semangat yang kalian berikan amat kami hargai. Alhamdulillah, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian, semoga urusan bait muslim kalian nanti akan dipermudahkan dan diberkati Allah hendaknya. Ameeeen…

***************

Dalam keributan suami saya bersibuk-sibuk dengan persiapan untuk menyambut ketibaan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis ke Mesir bagi menjenguk anak-anak Perlis di sini pada 19 dan 20/10/09 ini, suami saya masih sempat mengajak saya ‘dating’ dan menghadiahkan saya sejambak bunga serta mengajak saya makan malam di luar. Saya sungguh gembira dan terharu. Sebenarnya saya hampir terlupa tarikh penting ini dek kerana kesibukan… Maafkan ayang ye abang.. Huhu..

Buat suamiku tercinta, terima kasih kerana sudi memperisterikan diriku ini, dan kemudian membelai hari-hariku dengan selautan kasih sayangmu, menghalau segala kegusaran pergi jauh dariku… Sabar dengan karenahku… Isterimu ini akan setia bersamamu dalam apa jua dan di mana jua kau berada.. Hanya kalungan doaku menjadi hadiah untukmu.. Moga ia dapat menjadi pendindingmu selalu.. (Huhu.. Jiwang pulak).. Terima kasih ya zauji habibi.. Allah yubaarik fiik.. Uhibbuka min dakhili qalbi ilal abad.. Semoga Allah memberkati hidup kita… Ameeen.. (Kawan-kawanku yang sedang membaca ni.. tolong ameenkan sekali ya.. Terima Kasih)

*************

Sebuah video klip khas untuk tontonan anda.. Sungguh menyentuh dan memikat. Tanpa alat muzik, hanya alunan suara yang lembut bertajuk “zaujati” yang bermakna “isteriku”. Buat suamiku, terimalah alunan ini khas untukmu, tapi tukar dulu lirik dia daripada “zaujati” kepada “zauji” (“isteriku” kepada “suamiku”). Dan juga segala dhomir yang perlu ditukar, tukarkanlah… Yang tak sesuai tu, sesuaikanlah.. Satu lagi, bayangkanlah orang yang menyanyi tu isterimu.. Hehe.. (Para isteri yang lain, ikutilah cara saya kalau nak hadiahkan suami anda dengan lagu ini.) Hehe.

Nikmatilah.

Ahmed Bukhatir – Zawjati – My wife
– Inspiring Nasheed, Masha’Allah –
TRANSLATION- Zawjati (My wife)
(as given in the album Da’ani)

I love you the way you are,
I love you the way you were,
No matter what did or will happen,
You are and will be my darling.

You’re my rightful wife, I care not about
Those who like to reproach and irritate me.
It is our destiny to be
Together eternally.

In my heart you instilled love
With grace and good deeds.
Happiness vanishes when you disappear,
Life brightens when you’re there.

Hard is my day
Until you return home.
Sadness disappears
When you smile.

Life turns black
When you’re upset,
So I work hard
To make your wish come true.

You’re my happiness.
May you be happy forever.
Our souls are united
Like soil and plants.

You’re my hope, my peace
My good company and inspiration.
Life is good, no matter how hard it is,
When you’re fine

**********

Categories: Suka Duka Hidup

Macam-macam…

September 13, 2009 Leave a comment

1. APABILA INTERNET TERPUTUS

Hampir 2 bulan saya membiarkan blog ini bersawang. Sebab utamanya  adalah ‘bekalan’ internet secara percuma yang saya peroleh telah terputus. Walaupun saya telah menggunakan khidmat internetnya selama lebih 3 bulan, ‘penderma’ ini tidak pernah merungut atau meminta apa-apa bayaran, malah kadangkala meningkatkan signal barnya. Sehingga membuatkan suami saya sangat teruja mendownload pelbagai software dari internet. Kata orang rezeki jangan ditolak. Kami bukan mencuri tetapi penderma itu sangat bermurah hati. Mulia sungguh hatinya. Saya doakan semoga Allah memurahkan rezeki beliau yang tidak dikenali itu. Juga saya doakan  semoga beliau membuka kembali line wireless internetnya untuk manfaat orang-orang Islam yang hidup sekitar Haiyu Sabie’ ini.

2. SUKA DUKA NATIJAH

Keputusan Imtihan Tahun Dua Kuliah Lughah Arabiah, Universiti Al-Azhar,  Banat, Kaherah telah dipamerkan pada awal Ogos lalu. Dukacitanya saya gagal melangkah ke Tahun Tiga. Saya terpaksa membawa 5 madah yg merupakan baki dari sukatan 13 madah untuk tahun ini. Lama juga saya mengumpul kekuatan untuk menkhabarkan berita ini pada mak dan ayah di kampung. Pedihnya. Saya telah berusaha, namun mungkin usaha saya itu tidak setimpal untuk ke tahap seterusnya. Mujur suami saya banyak memberikan kata-kata semangat. Bukan senang untuk menjadi cemerlang, cuma Allah mahu kita lebih gemilang. Pasti ada hikmahnya.

Alfu mabruk kepada sahabat-sahabat saya yang berjaya menaikkan diri ke Tahun Tiga yang lebih mencabar, terutamanya kepada Intan (Kedah) yang studynya sampai ke dalam mimpi dan Rabiatul Adawiyah (KL) yang berjaya meraih pangkat Jayyid Jiddan 2 tahun berturut-turut. Tak lupa juga kepada sahabat dari Singapore, Farhana dan dari Indonesia, Rina. Mereka berdua juga berjaya meraih pangkat Jayyid Jiddan. Mereka inilah yang selalu menjadi sumber rujukan kami dan sangat murah hati berkongsi nota, merekalah kebanggaan kuliah kami. Jelaslah, pelajar wafidat atau foreigner dari kuliah Lughah bukan tiada yang mampu meraih Jayyid Jiddan.

mengapa saya gagal?

Namun terfikir juga di mana silapnya, mengapa hanya mereka yang berjaya? Bukan saya sahaja, malah rakan-rakan seangkatan saya yang lain (para mustajidah) yang seramai lebih kurang 15 orang juga turut tersungkur. Mungkin disebabkan cara study kami berbeza, masing-masing punya gaya yang tersendiri, maka cara menjawab soalan pun pastinya berbeza. Setiap dukturah (pensyarah) juga mempunyai cara pengajaran yang berbeza, maka setiap dari mereka mahukan pelajar-pelajar menjawab mengikut kehendak dan citarasa mereka yang tersendiri. Mungkin lain yang dibaca lain pula yang disoal, mungkin juga apa yang dibaca itulah yang disoal namun cara menjawabnya tidak kena, gagal juga akhirnya. Suka atau tidak, kami terpaksa menelan hakikat ini.

Kelemahan dalam memperaktikkan apa yang dipelajari juga merupakan antara sebab utama kegagalan. Misalnya matapelajaran seperti Nahu, Sorof dan Balaghah yang sangat kaya dengan seni-seni, untuk memahami teknik mempelajarinya, tak lain tak bukan para pelajar harus menekuni kitab-kitab turathi karangan ulama terdahulu kerana kalamnya banyak disulami dengan penggunaan ilmu Nahu. Begitulah, betapa mencabar mana sekalipun menjadi pelajar Lughah Arabiah di universiti tertua di dunia ini, saya harus bangun dan bangkit semula. Saya mesti dan wajib berusaha semula.

3. DILAMAR ALMUTTAQIN TV

Sebelum peperiksan semester dua bermula, saya dilamar pegawai al-Muttaqin TV untuk menjadi krew bagi projek terbarunya iaitu Jejak Auliya’ yang mana 90% dari para krewnya terdiri daripada para mahasiswi. Setelah mendapat izin dari suami, saya dengan senang hati menerima lamaran ini. Jejak Auliya’ merupakan siri dokumentari yang menjejaki peribadi dan keunggulan para Auliyaullah pada zaman kegemilangan Islam di era pemerintahan khalifah-khalifah Islam. Untuk siri pertama ini, kami menelusuri kisah para Auliyaullah yang jasad mereka disemadikan di Kaherah. Mereka adalah :

1 ) Imam As-Syafe’i
2 ) Imam Ibnu Ataillah as-Sakandari
3 ) Imam Ibnu Hajar
4 ) Imam Laith
5 ) Imam Soleh Al-Ja’fari
6 ) Imam Sultan Hasan
7 ) Imam Sya’rani
8 ) Imam Syihabudin ar-Ramli
9 ) Imam Zakaria Al-Ansari
10) Imam Ibnu Daqiq

Maka bermulalah tugas saya sebaik sahaja selesai imtihan semester dua. Lagi pula saya tidak lagi memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PMC untuk tahun ini. Alhamdulillah, pengalaman sepanjang berkhidmat dalam PMC banyak membantu saya ketika menjadi krew Jejak Auliya’.

Alhamdulillah kini semua penggambaran telah selesai, sekarang kami berada di tahap kedua terakhir sebelum proses pemasaran. Tahap inilah yang paling sukar, kerana saya perlu mengedit semua rakaman video dan menyusun semula untuk dimasukkan ke dalam setiap episod. Demi menghasilkan motion yang berkualiti dan menyentuh jiwa para penonton, saya perlu dan terpaksa belajar lebih banyak video software dan juga graphics software. Betapa pentingnya kesabaran ketika ini kerana tiada siapa yang mampu mengajar saya secara detail. Hanya suami saya menjadi tempat rujukan saya. Apa-apa pun doakan semoga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya… Ameen!!

4. RAMADHAN PENUH HIKMAH…

Masa begitu mencemburui kita, pejam celik pejam celik kini kita sudah berada di ambang sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Rasanya baru sekejap tadi saya menerima berita Ramadhan bermula pada 22 Ogos. Adik bongsu saya baru selesai menghadapi  UPSR. Mak meminta saya mendoakannya supaya memperoleh 5A. InsyaAllah confirm adik akan dapat 5A jika usahanya dilipatkali gandakan. Alhamdulillah Kak Uda saya telah selamat melahirkan anak lelaki keduanya 2 minggu lalu. Semestinya Umair yang baru berumur 2 tahun itu sibuk mengawal adiknya yang baru diberi nama Uwais. Sepupu saya juga, Kak Teh, selamat melahirkan anak lelaki keduanya seminggu lalu, pastinya Faris juga sibuk membantu ibunya menjaga adik baru. Nampaknya raya tahun ini lebih meriah. Bertambah besarlah keluarga kami. Rindu dan cemburu melingkari hati ini, namun apakan daya, saya dan suami harus mengutamakan apa yang lebih utama.

mari bersatu padu!!

Kini Ramadhan hanya berbaki lagi seminggu. Pantasnya masa berlalu, seolah-olah tak terasa sedang berpuasa. Apakah amalan yang kita lakukan sudah mencukupi? Insaflah wahai diri, lemahnya kamu dalam beribadah.

berlainan fikrah?

Puasa bukan sahaja di perut, tapi hati juga perlu berpuasa, betapa ramai orang yang berpuasa tapi puasanya sia-sia. Hubungan sesama muslim tidak dijaga, hati masih busuk penuh dengki. Berhati-hatilah menutur bicara, tanpa sedar mungkin ada hati yang terluka. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tiada gunanya. Islam mengajar kita supaya bersatu padu, betapa porak perandanya kita jika berpecah, sudahlah hidup di negeri orang, berpecah belah pula. Jika puncanya adalah berlainan fikrah, fikirlah semula, bukankah kita tetap saudara seIslam dan mempunyai satu tujuan yang sama? iaitu menyembah Allah yang Esa. Maka hormatilah dan railah fikrah orang yang berlainan dengan kita selagi mana tidak melanggar batasan Islam yang sebenar..

Justeru itu marilah kita menambahkan amal ibadat kita kepada Allah kerana Allahlah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Duhai teman dan diri, marilah sama-sama membersihkan hati, buanglah perangai buruk yang sekian lama terlekat di dinding hati yang berkarat itu. Ramadhan ini banyak mengajar kita erti kesabaran dan kematangan. Betapa indahnya jika kita dapat menghayati nikmatinya…

Categories: Suka Duka Hidup