Archive

Archive for the ‘Motivasi’ Category

Tidur Lepas Subuh

October 17, 2011 Leave a comment

Tidur Lepas Subuh

Kita sama-sama bahawa waktu pagi adalah waktu yang penuh berkat dan di antara waktu yang kita diperintahkan untuk memanfaatkannya.

Tetap pada kenyataan sekarang, kita sering melihat orang-orang melalaikan waktu yang mulia ini. Waktu yang seharusnya dipergunakan untuk bekerja, melakukan ibadat, ternyata digunakaan untuk tidur dan bermalas-malasan.

Saudaraku, ingatlah bahawa orang-orang soleh terdahulu sangat membenci tidur pagi.

Kita dapat melihat ini dari ucapan Ibnul Qayyim ketika menjelaskan masalah banyak tidur bahawa banyak tidur dapat mematikan hati dan membuat badan merasa malas serta membuang masa. Beliau mengatakan:

“Banyak tidur dapat mengakibatkan lalai dan malas.Banyak tidur ada yang termasuk dilarang dan ada pula yang dapat menimbulkan bahaya bagi badan.

Waktu tidur yang paling bermanfaat yaitu :

1. Tidur ketika perlu tidur.
2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam
3. Tidur di tengahari –ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi kecuali jika memang tidak tidur semalaman.

Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerana pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah (pahala yang berlimpah).

Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar, menurut orang-orang soleh. Sehingga apabila mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barokah (banyak kebaikan).”

(Madarijus Salikin, 1/459, Maktabah Syamilah)

BAHAYA TIDUR PAGI

1. Tidak sesuai dengan petunjuk Al Qur’an dan As Sunnah.
2. Bukan termasuk akhlak dan kebiasaan para salafush soleh (generasi terbaik umat ini), bahkan merupakan perbuatan yang dibenci.
3.Tidak mendapatkan berkat di dalam waktu dan amalannya.
4.Menyebabkan malas dan tidak bersemangat di sisa harinya.

Maksud dari hal ini dapat dilihat dari perkataan Ibnul Qayyim. Beliau berkata,

“Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”

(Miftah Daris Sa’adah, 2/216).

Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah malas-malas dengan selalu tidur, maka di petang harinya dia juga akan malas-malas pula.

5. Menghambat datangnya rezeki.

Ibnul Qayyim berkata,

“Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah;

– tidur di waktu pagi,

– sedikit solat,

– bermalas-malas dan

– berkhianat.”

(Zaadul Ma’ad, 4/378)

6. Menyebabkan berbagai penyakit badan, di antaranya adalah melemahkan syahwat. (Zaadul Ma’ad, 4/222)

Wallahu’alam.

Advertisements

Oh Melayu! Jangan Lupa Diri!

December 31, 2010 Leave a comment

Dato’ Dr Usman Awang pernah berdendang dalam sajaknya:

“Melayu Bangsaku… Tercinta”:

 

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

 

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut

Biar mati adat

Jangan mati anak.

 

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu,

Bugis itu Melayu,

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani,

semua Melayu.

Mamak dan Malbari serap ke Melayu,

Malah muaalaf bertakrif Melayu.

 

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan.

 

Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual

 

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

 

Berbuahlah pisang tiga kali

 

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

 

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

 

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

 

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut.

 

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran”


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

 

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

 

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

 

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

 

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka!

 

SELAMAT MENGHADAPI IMTIHAN !!!

May 7, 2010 Leave a comment

Salam ceria buat semua.

Nampaknya blog saya ni dah berserawang di sana sini setelah 2 bulan dibiarkan tanpa isi dan isu baru. Maafkan saya jika kalian menantikan post yang berkualiti kerana buat masa sekarang, saya tidak dapat memenuhi keinginan kalian lantaran sibuk dengan imtihan yang tersangatlah dekat.

Maka saya berazam akan kembali mengencangkan blog ini dengan post-post yang berkualiti apabila berakhirnya imtihan, insyaAllah jika masih diizinkan menghirup udara di muka bumi Allah ini.

Saya juga ingin memohon jutaan kemaafan daripada pembaca sekalian jika saya ada melakukan sebarang kesalahan. Maafkanlah diri yang hina ini dan silalah tegur saya dengan cara yang baik. Marilah kita sama-sama berdoa agar dapat berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, selamat membuat ‘pembedahan’ dan mengeluarkan semua ‘organ-organ’ yang penting dari dalam setiap buku yang kita baca. Gunakan masa yang amat terhad ini dengan bijaksana tanpa mengabaikan hubungan bersama Allah dan sesama manusia.

Berhati-hatilah ketika membaca dan menjawab soalan. Gunakan kekuatan minda kita sepenuhnya. Jangan karang ayat yang meleret dan berulang-ulang kerana masa yang diberi amat singkat, sebaliknya bersedialah dengan rangkap perkataan yang lebih ringkas, sedap, padat dan betul.

Tiada ubat yang lebih mujarab untuk berjaya selain berusaha dengan sehabis-habisnya!

Itu sahaja motivasi yang mampu saya selitkan di sini. Setelah berusaha, bertawakkallah dan berdoalah dengan sepenuh pengharapan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Akhir sekali selamat menjawab peperiksaan. Selamat maju jaya!!!

p/s: Saya akan mula ‘berperang’ dengan ujian lisan/syafawi pada 19 & 20 Mei ini dan akan mula menjawab soalan bertulis/tahriri pada 24/5, 31/5, 7/6, 14/6 & 24/6 . Tolong doakan saya dan kawan-kawan ya! Terima kasih!!!

Categories: Motivasi, Suka Duka Hidup

SENYUM-SENYUM RASULULLAH S.A.W

October 30, 2009 3 comments
SENYUM-SENYUM RASULULLAH S.A.W
Dalam menjalani kehidupan, sesekali kita akan diuji dengan pelbagai tekanan, selain membaca al-Quran sebagai sumber rujukan dan ketenangan, apa kata seketika lapangkan fikiran anda dengan membaca secebis kisah-kisah lucu yang dibualkan turun temurun dan kemudiannya dicatat oleh para ulama’. Kisah ini semuanya benar belaka dan berlaku sebelum kewafatan baginda SAW…
1. MENGINTAI MATA SUAMI
Suatu hari seorang wanita datang ke majlis Rasulullah S.A.W dan mengintai-intai seperti mencari seseorang. Rasulullah pun bertanya;
“Siapa yang engkau cari?”
“Suami saya wahai Rasulullah.” jawab wanita tadi.
“Siapa nama suamimu?” tanya Rasulullah.
“Fulan b Fulan” jawab wanita itu.
“Oh… Orang yang di matanya terdapat putih-putih itu?” Tanya Rasulullah.
“Tidak.” kata wanita itu.
“Betul.” jawab Rasulullah SAW.
Wanita itupun diam seketika dan kemudian terus mencari suaminya. Fikirannya rungsing memikirkan kata-kata Rasulullah. Apabila bertemu suaminya dia pun terus mengintai-intai ke mata suaminya. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Melihatkan keadaan itu, suami wanita itu pun bertanya;
“Apahal engkau mengintai-intai ke mataku ini?”
“Aku sedang memeriksa matamu”
“Untuk apa?”
“Rasulullah SAW memberitahuku di matamu terdapat putih-putih.”
“Engkau ni memang betul bendullah.”
“Kenapa pula?”
“Bukankah setiap biji mata ada putihnya. Engkau pun dapat lihat sendiri yang putih-putih itu lebih banyak daripada yang hitam-hitam.”
Mendengarkan itu wanita itu pun tersengih dan menyedari bahawa Rasulullah SAW berkata benar dan hanya senda gurau.
2. JANGAN MENYEKSA DIRI
Seorang perempuan tua yang sudah bongkok tiga sedang berjalan bertatih-tatih dengan dipapah oleh dua orang anaknya.
“Kenapa dengan orang ini?” Tanya Rasulullah SAW apabila melihat keadaan itu.
“Dia bernazar untuk menunaikan haji dengan berjalan kaki wahai Rasulullah.” Jawab anaknya.
“Sesungguhnya Allah SWT tidak menyuruh agar menyeksa dirinya.” Kata Rasulullah.
Kemudian Rasulullah pun memerintahkan agar orang tua itu dinaikkan atas kenderaan untuk menunaikan haji.
3. WANITA SEPERTI BOTOL
Adakalanya Rasulullah menggunakan kata-kata kiasan yang senang difahami sahabatnya sehingga mereka tersenyum bersama. Di antara kata-kata kiasan yang baginda gunakan adalah botol-botol untuk pengganti kata kepada ‘wanita-wanita’, seperti kisah di bawah ini.
Anas b Malik menceritakan bahawa Rasulullah SAW memepunyai seorang pembantu bernama Anjasyah yang ditugaskan untuk menuntun unta yang dinaiki oleh para isteri baginda. Suatu hari salah seorang isteri baginda menaiki unta yang dituntun oleh Anjasyah. Tiba-tiba unta itu berjalan laju. Melihat itu, Rasullah SAW bersabda;
“Wahai Anjasyah! berhati-hatilah menjaga botol-botol.”
4. YANG LEBIH CANTIK
Dirawayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW membai’ah Ad-Dahhak b Sufyan Al-Kalbi untuk menjadi ketua kaumnya yang telah memeluk Islam. Ad-Dahhak b Sufyan ini dikenal sebagai orang yang bertubuh pendek dan buruk pula rupanya. Ummul Mukminin Aisyah menyaksikan bai’at tersebut dengan wajah terbuka kerana ketika itu belum turun ayat hijab (yang mana diturunkan untuk para isteri Rasulullah SAW sahaja).
Tiba-tiba Ad-Dahhak berkata kepada Rasulullah SAW;
“Aku punya dua orang wanita yang lebih cantik daripada Al-Humaira’ (Aisyah) ini. Bagaimana kalau aku bawakan salah seorang daripadanya padamu, lalu engkau kahwin dengannya?”
Aisyah duduk sahaja dengan tenang mendengarkan kata-kata Ad-Dahhak sebelum memberi komen;
“Apakah wanita itu lebih lawa daripada engkau?”
“Aku lebih lawa dan lebih mulia daripada wanita itu.” Jawab Ad-Dahhak.
Tertawalah Rasulullah SAW mendengarkan pertanyaan Aisyah itu kerana Ad-Dahhak memang diketahui sebagai lelaki pendek dan berwajah buruk.
5. MAKAN SEBELAH YANG LAIN
Suatu hari seorang sahabat bernama Suhaib sakit. Orang sakit mata, tidak begitu baik memakan kurma. Pada suatu hari Rasulllah SAW melihat Suhaib makan kurma lalu ditegurnya;
“Wahai Suhaib, adakah engkau memakan tamar sedangkan engkau sakit mata?”
“Wahai Rasulullah, aku makan tamar ini pada sebelah yang lain.” Jawab Suhaib.
Mendengar kelakar itu, Rasulullah SAW tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya.
6. KUAT MAKAN
Diceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW makan kurma bersama-sam Ali bin Abi Talib. Beliau meletakkan biji-biji kurma yang telah dimakannya di hadapan Ali dan biji-biji kurma itupun bersatu dengan biji-biji yang diletak oleh Ali, seolah-olah dialah yang makan kesemuanya.
“Wahai Ali, engkau ini sungguh kuat makan.” Kata Rasulullah SAW.
“Wahai Rasulullah, orang yang kuat makan adalah yang makan adalah yang makan dengan biji-bijnya sekali.” Kata Ali.
7. HADIAH DARI DIRI SENDIRI
Nu’aim b Amru seorang sahabat Ansar yang suka berjenaka dan membuatkan sahabat-sahabat yang lain tertawa geli hati dengan jenakanya.
Suatu hari, seorang penjual madu sedang berkeliling kota Madinah menjajakan madunya. Cuaca sangat panas dan kebanyakan orang sedang beristirehat di dalam rumah setelah selesai solat zohor. Jadi, tiadalah orang yang keluar untuk memanggil si penjual madu.
Tiba-tiba Nu’aim melihat penjaja madu dan diajaknya ke rumah Rasulullah SAW dan menyuruhnya menunggu diluar, sementara dia masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dengan membawa sebotol madu lalu diberikan kepada Rasulullah SAW.
“Wahai Rasulullah, aku tahu bahawa engkau suka madu, jadi aku membawakan madu ini sebagai hadiah untukmu.” kata Nu’aim.
Setelah itu Nu’aim keluar menjumpai si penjual madu dan berkata;
“Aku akan pergi atas urusanku. Engkau tunggu saja di sini. Sekejap lagi tuan rumah ini akan keluar untuk membayar harga madu itu kepadamu.”
Nu’aim terus pergi dan si penjaja pun menunggu keluarnya tuan rumah. Setelah agak lama menunggu dia pun mengetuk pintu dan Rasulullah SAW pun keluar.
“Wahai tuan rumah, bayarlah harga maduku yang telah dibawa oleh lelaki tadi.” kata si penjaja.
Rasulullah SAW terkejut tapi baginda menyedari Nu’aim hanya membuat kelakar agar baginda tersenyum. Tanpa banyak cakap, baginda terus membayar harga madu itu.
Beberapa masa kemudian baginda bertemu dengan Nu’aim yang telah tersenyum terlebih dahulu.
“Wahai Nu’aim, apakah yang telah engkau perbuat terhadap keluarga Nabimu?”  Tanya Rasulullah SAW.
“Wahai Rasulullah, aku tahu bahawa engkau suka makan madu tapi aku tidak punya wang untuk membelinya sebagai hadiah untukmu. Lalu aku hanya tolong membawakannya kepadamu. Semoga aku memperoleh taufik dan kebaikan.” Kata Nu’aim dan disambut dengan senyum Rasulullah.
8.ORANG YANG DITAKUTI SYAITAN
Beberapa orang wanita Quraisy sedang berada di rumah Rasulullah SAW kerana sedang bertanyakan beberapa masalah. Suara mereka riuh kerana agak ramai dan terlalu gembira kerana dapat bercakap dengan baginda.
Tiba-tiba Umar b Khattab datang dan meminta izin untuk masuk. Rasulullah SAW pun mengizinkan.
Sebaik sahaja Umar masuk, wanita-wanita tadi terus senyap serta merta dan membetulkan letak tudung masing-masing. Rasulullah SAW tertawa melihat kejadian itu.
“Mengapa engkau tertawa wahai Rasulullah?” Tanya Umar.
“Aku hairan, sebaik sahaja mendengar suaramu, kaum wanita ini segera membetulkan letak tudung mereka.” Jawab Rasulullah SAW.
“Wahai Rasulullah, sepatutnya, engkaulah yang lebih disegani daripada aku” Kata Umar.
Kemudian Umar berkata kepada wanita-wanita tadi;
“Engkau semua ini melawan diri sendiri, mengapa kamu semua lebih takut kepadaku daripada Rasulullah?”
“Engkau wahai Umar, berhati kasar dan lebih keras daripada Rasulullah.” Jawab mereka.
Sekali lagi Rasulullah SAW tersenyum mendengar jawapan kaum wanita tadi. Lalu baginda berkata kepada Umar;
“Wahai anak Khattab, demi Allah, apabila syaitan terserempak dengan engkau di suatu jalan yang engkau lalui, maka dia akan lari dan melalui jalan lain.”
9. AKAN MELAWAN DAJJAL
Rasulullah SAW sentiasa kelihatan tersenyum, tapi suatu hari tanpa diketahui sebabnya wajah baginda kelihatan masam. Seorang sahabat dari kalangan Badwi cuba bertanya suatu soalan kepada baginda tetapi dihalang oleh sahabat-sahabat yang lain.
“Jangan ganggu Rasulullah dalam keadaan begini.” Nasihat mereka.
“Biarkanlah aku bertanya sesuatu agar baginda tersenyum.” Kata Badwi itu.
Badwi itu terus pergi kepada Rasulullah dan bertanya;
“Wahai Rasulullah, saya telah mendengar berita mengenai kedatangan ‘Almasihuddajjal’ yang kemudiannya akan menawarkan roti dan kuah kepada manusia. Dikatakan pula orang tidak mengikut kepimpinannya akan mati kelaparan. Apakah kami mesti mempertahankan diri dengan menolak pemberian si Dajjal sehingga kami mati kelaparan, ataukah kami akan makan saja roti itu sehingga kenyang, tapi kami tetap beriman kepada Allah dan mengkufuri si Dajjal?”
Mendengar itu, baginda tertawa sehingga kelihatan gigi serinya sambil berkata;
“Tidak… Engkau akan diperkaya oleh Allah SWT, sebagaimana Allah memperkaya orang-orang beriman.”
10.SENYUM SATU TAHUN
Suatu hari Nu’aim b Amru, sahabat Rasulullah SAW yang suka berjenaka itu telah berangkat dari Madinah ke Basrah bersama Abu Bakar untuk urusan perniagaan. Turut serta dalam rombongan itu adalah Suwait b Haramalah yang bertindak sebagai pegawai Abu Bakar yang menjaga makanan dan minuman.
Tidak berapa lama kemudian mereka singgah untuk beristirehat di suatu tempat dan Abu Bakar keluar untuk suatu urusan. Tiba-tiba Nu’aim datang kepada Suwait meminta makanan.
“Tidak boleh sehingga Abu Bakar datang.” Kata Suwait.
Nu’aim merayu lagi tetapi tetap ditolak oleh Suwait. Akhirnya Nu’aim berjanji kepada dirinya untuk berbuat sesuatu kepada Suwait sebagai tindak balas.
Dengan senyap-senyap, Nu’aim telah pergi kepada suatu kafilah yang kebetulan lalu di situ dan menawarkan hamba untuk dijual.
“Kami berminat untuk membelinya.” Kata ketua kafilah itu.
“Tapi hamba yang ingin kujual ini banyak cakap, tahu. Nanti pasti dia akan meronta dan akan mengatakan “Aku bukan hamba. Aku orang merdeka….” dan seterusnya. Jika dia berkata demikian, engkau jangan membelinya dan biarkan sahaja hambaku itu di tempatnya.” Kata Nu’aim.
“Kami akan tetap membelinya, dan kami tidak akan menghiraukan apa yang dicakapkannya.” Kata mereka.
Nu’aim merasa terperangkap apabila ketua kafilah itu mengatakan akan tetap membeli Suwait walaupun dia akan menjerit dan meronta mengatakan dia orang merdeka. Maka terpaksalah dia menerima wang daripada kafilah itu tanpa pengetahuan Suwait dan kemudian menjauh dari tempat Suwait.
Mereka pun pergi kepada tempat Suwait dan menjerat lehernya dengan serban dan lalu ditarik.
“Eiii.. Ada apa ini?!”Kata Suwait terkejut.
“Engkau telah kubeli daripada tuanmu.” Jawab mereka.
“Tidak.. Tidak.. Aku bukan hambanya, aku orang merdeka.” Kata Suwait sambil meronta.
Akan tetapi orang yang menjeratnya tidak mempedulikan kata-katanya dan membawanya pergi ke kafilah dan dibawa meneruskan perjalanan. Suwait pun bersungut;
“Ini pasti kerja Nu’aim.”
Sementara Nu’aim tinggal termanggu-manggu kerana gurauannya menjadi serius. Dia telah terjual orang merdeka.
Sebentar kemudian Abu Bakar pun pulang. Tanpa berlengah lagi Nu’aim datang menceritakan apa yang terjadi dan memohon maaf. Tanpa membuang masa Abu Bakar terus mengejar kafilah tadi dan menebus Suwait lalu dibawa pulang.
Apabila peristiwa tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, baginda pun tertawa atas perbuatan Nu’aim itu. Sehingga satu tahun lamanya apabila berjumpa Nu’aim, baginda selalu tertawa.
Seorang sahabat berkata di hadapan Rasulullah SAW bahawa Nu’aim suka bersenda gurau dan tertawa. Menanggapi itu, Rasulullah SAW bersabda;
“Dia akan masuk syurga dalam keadaan tertawa.”
🙂 😀 🙂 😀 🙂
Ditulis oleh :
Hakimah Zakuwan
Nasr City, Cairo
7.41 a.m
Categories: Cerita, Ilmiah, Motivasi, Rilex

12 Cara Motivasi Diri Sendiri

June 28, 2009 Leave a comment

emoticon-025Saya melihat ramai sahabat-sahabat kita yang sedang rungsing memikirkan masalah-masalah masing-masing, termasuklah saya. Rasa bengang, lemah, tensen dan geram semua ada. Setiap manusia akan diuji Allah sejauh mana tahap keimanannya. Kita kena la bertenang dan mengambil iktibar di atas apa yang berlaku di sekeliling kita, jangan emosi kita terpengaruh dengan hangat-panas cuaca musim panas ni. Bersabarlah. Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, “Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh-kesah.” Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1.Memohon kepada Allah

Jika memerlukan kekuatan, mohonlah pada Allah SWT terlebih dahulu kerana kekuatan itu datang dari Allah dan Dialah yang lebih mengetahui tentang segala-galanya. Di samping itu, kita juga harus berusaha. Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan jika mereka berusaha terlebih dahulu.

2.Perbaiki imej anda Cuba lakukan sedikit perubahan

Kalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang dipakai sehingga seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dan pelbagaikan warnanya. Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas. Elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda denga sedikit solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada tubuh anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri. Jangan terlalu pendiam, tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat.

3. Lakukan senaman ringan

4. Senyum-senyum boleh mengubah segala-galanya.

Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik. “When you see a person without a smile, Give him yours”
Senyuman akan buat kita happy dan happiness is the true source of motivation!

senyumlah

5. Berfikiran positif

Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.

6. Dapatkan tidur yang mencukupi

Rungsing dan marah-marah kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Tidur yang tidak mencukupi akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.

7. Luahkan pada seseorang

Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan dalam suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat.

8. Curahkan di atas kertas

Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega.

9. Bersedia untuk berubah

Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan tertentu.

10. Cari kegemaran baru

Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat adakah minat anda boleh tumbuh di sini.

11. Bersedekahlah

Bersedekahlah. Perhatikan betapa kehidupan kita lebih baik dari orang lain. Dengan cara ini anda akan merasa lebih bersyukur dengan keadaan anda.

12. Bertegaslah

Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya.

Categories: Motivasi