Home > Suka Duka Hidup > Macam-macam…

Macam-macam…

1. APABILA INTERNET TERPUTUS

Hampir 2 bulan saya membiarkan blog ini bersawang. Sebab utamanya  adalah ‘bekalan’ internet secara percuma yang saya peroleh telah terputus. Walaupun saya telah menggunakan khidmat internetnya selama lebih 3 bulan, ‘penderma’ ini tidak pernah merungut atau meminta apa-apa bayaran, malah kadangkala meningkatkan signal barnya. Sehingga membuatkan suami saya sangat teruja mendownload pelbagai software dari internet. Kata orang rezeki jangan ditolak. Kami bukan mencuri tetapi penderma itu sangat bermurah hati. Mulia sungguh hatinya. Saya doakan semoga Allah memurahkan rezeki beliau yang tidak dikenali itu. Juga saya doakan  semoga beliau membuka kembali line wireless internetnya untuk manfaat orang-orang Islam yang hidup sekitar Haiyu Sabie’ ini.

2. SUKA DUKA NATIJAH

Keputusan Imtihan Tahun Dua Kuliah Lughah Arabiah, Universiti Al-Azhar,  Banat, Kaherah telah dipamerkan pada awal Ogos lalu. Dukacitanya saya gagal melangkah ke Tahun Tiga. Saya terpaksa membawa 5 madah yg merupakan baki dari sukatan 13 madah untuk tahun ini. Lama juga saya mengumpul kekuatan untuk menkhabarkan berita ini pada mak dan ayah di kampung. Pedihnya. Saya telah berusaha, namun mungkin usaha saya itu tidak setimpal untuk ke tahap seterusnya. Mujur suami saya banyak memberikan kata-kata semangat. Bukan senang untuk menjadi cemerlang, cuma Allah mahu kita lebih gemilang. Pasti ada hikmahnya.

Alfu mabruk kepada sahabat-sahabat saya yang berjaya menaikkan diri ke Tahun Tiga yang lebih mencabar, terutamanya kepada Intan (Kedah) yang studynya sampai ke dalam mimpi dan Rabiatul Adawiyah (KL) yang berjaya meraih pangkat Jayyid Jiddan 2 tahun berturut-turut. Tak lupa juga kepada sahabat dari Singapore, Farhana dan dari Indonesia, Rina. Mereka berdua juga berjaya meraih pangkat Jayyid Jiddan. Mereka inilah yang selalu menjadi sumber rujukan kami dan sangat murah hati berkongsi nota, merekalah kebanggaan kuliah kami. Jelaslah, pelajar wafidat atau foreigner dari kuliah Lughah bukan tiada yang mampu meraih Jayyid Jiddan.

mengapa saya gagal?

Namun terfikir juga di mana silapnya, mengapa hanya mereka yang berjaya? Bukan saya sahaja, malah rakan-rakan seangkatan saya yang lain (para mustajidah) yang seramai lebih kurang 15 orang juga turut tersungkur. Mungkin disebabkan cara study kami berbeza, masing-masing punya gaya yang tersendiri, maka cara menjawab soalan pun pastinya berbeza. Setiap dukturah (pensyarah) juga mempunyai cara pengajaran yang berbeza, maka setiap dari mereka mahukan pelajar-pelajar menjawab mengikut kehendak dan citarasa mereka yang tersendiri. Mungkin lain yang dibaca lain pula yang disoal, mungkin juga apa yang dibaca itulah yang disoal namun cara menjawabnya tidak kena, gagal juga akhirnya. Suka atau tidak, kami terpaksa menelan hakikat ini.

Kelemahan dalam memperaktikkan apa yang dipelajari juga merupakan antara sebab utama kegagalan. Misalnya matapelajaran seperti Nahu, Sorof dan Balaghah yang sangat kaya dengan seni-seni, untuk memahami teknik mempelajarinya, tak lain tak bukan para pelajar harus menekuni kitab-kitab turathi karangan ulama terdahulu kerana kalamnya banyak disulami dengan penggunaan ilmu Nahu. Begitulah, betapa mencabar mana sekalipun menjadi pelajar Lughah Arabiah di universiti tertua di dunia ini, saya harus bangun dan bangkit semula. Saya mesti dan wajib berusaha semula.

3. DILAMAR ALMUTTAQIN TV

Sebelum peperiksan semester dua bermula, saya dilamar pegawai al-Muttaqin TV untuk menjadi krew bagi projek terbarunya iaitu Jejak Auliya’ yang mana 90% dari para krewnya terdiri daripada para mahasiswi. Setelah mendapat izin dari suami, saya dengan senang hati menerima lamaran ini. Jejak Auliya’ merupakan siri dokumentari yang menjejaki peribadi dan keunggulan para Auliyaullah pada zaman kegemilangan Islam di era pemerintahan khalifah-khalifah Islam. Untuk siri pertama ini, kami menelusuri kisah para Auliyaullah yang jasad mereka disemadikan di Kaherah. Mereka adalah :

1 ) Imam As-Syafe’i
2 ) Imam Ibnu Ataillah as-Sakandari
3 ) Imam Ibnu Hajar
4 ) Imam Laith
5 ) Imam Soleh Al-Ja’fari
6 ) Imam Sultan Hasan
7 ) Imam Sya’rani
8 ) Imam Syihabudin ar-Ramli
9 ) Imam Zakaria Al-Ansari
10) Imam Ibnu Daqiq

Maka bermulalah tugas saya sebaik sahaja selesai imtihan semester dua. Lagi pula saya tidak lagi memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PMC untuk tahun ini. Alhamdulillah, pengalaman sepanjang berkhidmat dalam PMC banyak membantu saya ketika menjadi krew Jejak Auliya’.

Alhamdulillah kini semua penggambaran telah selesai, sekarang kami berada di tahap kedua terakhir sebelum proses pemasaran. Tahap inilah yang paling sukar, kerana saya perlu mengedit semua rakaman video dan menyusun semula untuk dimasukkan ke dalam setiap episod. Demi menghasilkan motion yang berkualiti dan menyentuh jiwa para penonton, saya perlu dan terpaksa belajar lebih banyak video software dan juga graphics software. Betapa pentingnya kesabaran ketika ini kerana tiada siapa yang mampu mengajar saya secara detail. Hanya suami saya menjadi tempat rujukan saya. Apa-apa pun doakan semoga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya… Ameen!!

4. RAMADHAN PENUH HIKMAH…

Masa begitu mencemburui kita, pejam celik pejam celik kini kita sudah berada di ambang sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Rasanya baru sekejap tadi saya menerima berita Ramadhan bermula pada 22 Ogos. Adik bongsu saya baru selesai menghadapi  UPSR. Mak meminta saya mendoakannya supaya memperoleh 5A. InsyaAllah confirm adik akan dapat 5A jika usahanya dilipatkali gandakan. Alhamdulillah Kak Uda saya telah selamat melahirkan anak lelaki keduanya 2 minggu lalu. Semestinya Umair yang baru berumur 2 tahun itu sibuk mengawal adiknya yang baru diberi nama Uwais. Sepupu saya juga, Kak Teh, selamat melahirkan anak lelaki keduanya seminggu lalu, pastinya Faris juga sibuk membantu ibunya menjaga adik baru. Nampaknya raya tahun ini lebih meriah. Bertambah besarlah keluarga kami. Rindu dan cemburu melingkari hati ini, namun apakan daya, saya dan suami harus mengutamakan apa yang lebih utama.

mari bersatu padu!!

Kini Ramadhan hanya berbaki lagi seminggu. Pantasnya masa berlalu, seolah-olah tak terasa sedang berpuasa. Apakah amalan yang kita lakukan sudah mencukupi? Insaflah wahai diri, lemahnya kamu dalam beribadah.

berlainan fikrah?

Puasa bukan sahaja di perut, tapi hati juga perlu berpuasa, betapa ramai orang yang berpuasa tapi puasanya sia-sia. Hubungan sesama muslim tidak dijaga, hati masih busuk penuh dengki. Berhati-hatilah menutur bicara, tanpa sedar mungkin ada hati yang terluka. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tiada gunanya. Islam mengajar kita supaya bersatu padu, betapa porak perandanya kita jika berpecah, sudahlah hidup di negeri orang, berpecah belah pula. Jika puncanya adalah berlainan fikrah, fikirlah semula, bukankah kita tetap saudara seIslam dan mempunyai satu tujuan yang sama? iaitu menyembah Allah yang Esa. Maka hormatilah dan railah fikrah orang yang berlainan dengan kita selagi mana tidak melanggar batasan Islam yang sebenar..

Justeru itu marilah kita menambahkan amal ibadat kita kepada Allah kerana Allahlah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Duhai teman dan diri, marilah sama-sama membersihkan hati, buanglah perangai buruk yang sekian lama terlekat di dinding hati yang berkarat itu. Ramadhan ini banyak mengajar kita erti kesabaran dan kematangan. Betapa indahnya jika kita dapat menghayati nikmatinya…

Categories: Suka Duka Hidup
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: