Home > Ilmiah > Sistem Perwarisan Islam dan Kepentingan Mempelajarinya

Sistem Perwarisan Islam dan Kepentingan Mempelajarinya

Susunan,
-Hakimah binti Zakuwan-
Graduan ke-13
11 Februari 2008

Sistem Perwarisan dalam Islam Secara Ringkas

Islam adalah agama syumul yang mencakupi semua aspek penting dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sejak 1429 tahun yg lalu, Islam telah datang dengan undang-undang dan sistem-sistem yang sempurna untuk menerangi seluruh kegelapan dan membawa manusia ke jalan yang lurus lagi benar.

Salah satu sistem dalam Islam yg sangat sistematik dan sempurna adalah sistem perundangan Islam yang menerangkan tentang penentuan sebelum pembahagian harta setelah kematian seseorang muslim. Secara berperingkat-peringkat sistem pewarisan atau ilmu Faraid atau mirath ini diperkenalkan sebagaimana juga ketika larangan terhadap meminum minuman keras di lakukan.

Pada zaman permulaan Islam, orang-orang Islam di berikan hak sepenuhnya untuk menulis wasiat, dengan syarat wasiat tersebut hendaklah ditujukan kepada ibu-bapa dan sanak saudara. Namun kemudiannya Islam telah mengenakan syarat, wasiat hanyalah kepada bukan waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan.

Begitu juga Islam telah menghapuskan adat buruk masyarakat Arab Jahiliyyah iaitu melarang kaum wanita dan kanak-kanak dari mendapat pembahagian harta pusaka. Islam mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak dan meletakkan mereka di dalam golongan orang-orang yang berhak menerima harta pusaka. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa (ayat 7) yang bermaksud :

“Bagi lelaki ada bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada bahagian dari peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya,baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang ditetapkan”.

Sistem pewarisan Islam telah membawa beberapa pembaharuan dimana golongan wanita, kanak-kanak telah diiktiraf dan diberikan hak dalam pembahagian harta pusaka. Perakuan hak untuk mewarisi harta pusaka setiap waris dari kedua-dua susur galur lelaki dan wanita serta merangkumi semua lapisan waris tidak kira tua atau muda, besar atau kecil bahkan sehingga janin dan bayi dalam kandungan. Malah, status harta orang yang hilang yang tidak diketahui sama ada dia telah hidup atau mati juga ada dibincangkan di dalam ilmu ini.

Hak memperolehi bahagian harta pusaka ditentukan berasaskan:

1) Hubungan kerabat

2) Akad perkahwinan dan

3) Akidah yang sama.

Susunan institusi kekeluargaan di dalam Islam adalah berkait rapat dengan sistem pewarisan. Ini memandangkan masyarakat terbina di atas beberapa unit keluarga dan Islam amat menghargai peranan yang di mainkan oleh setiap ahli keluarga.

Lantaran itu hak untuk mewarisi diberikan kepada anggota keluarga yang terdekat dengan si mati dan mereka yang menuntut harta pusaka mestilah membuktikan bahawa mereka adalah layak dan sah mewarisi tanpa dihalang oleh sebarang faktor.

Sistem pewarisan Islam mengenakan peraturan yang ketat di dalam pembahagian pusaka di mana kadar minimum 2/3 dari harta pusaka adalah tertakluk kepada mekanisma faraid. Selebihnya adalah tertakluk kepada penyelesaian transaksi-transaksi lain seperti hutang, wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya.

Pemilikan harta merupakan hubungan yang dikaitkan antara manusia dan harta, dengan pemilikan ini manusia mempunyai hak untuk melakukan sesuatu yang difikirkan perlu keatas harta tersebut. Sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, mengumpul dan menambah harta kekayaan, manusia juga memerlukan harta selagi hayat masih dikandung badan.

Apabila manusia menemui ajal maka hak pemilikannya turut lenyap dan luput. Adalah menjadi satu keperluan untuk mendapatkan pemilik baru sebagai ganti bagi mengurus harta yang ditinggalkan dan memperolehi faedah-faedah daripada harta peninggalan tersebut.

Kepentingan Mempelajari Ilmu Faraid

Malangnya masih ramai umat Islam yang tidak dapat menguasai ilmu ini. Akibatnya harta yang sepatutnya menjadi punca kebahagian keluarga itu bertukar menjadi satu punca perbalahan dalam sesebuah keluarga. Pengurusan perwarisan dalam Islam sangat penting terutama dalam zaman moden ini dimana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.

Antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan. Apabila kebendaan dijadikan kayu ukur utama, krisis keluarga lebih mudah berlaku dan akibatnya bertambah parah dengan tiadanya kefahaman masyarakat kita tentang ilmu pembahagian harta pusaka. Tambahan pula ilmu ini disebut juga sebagai ilmu yang mula-mula diangkat. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Pelajarilah ilmu faraidh dan ajarkanlah kepada manusia, maka sesungguhnya akulah orang yang didalam genggaman Allah dan bahawa ilmu faraidh itu kelak akan digenggam dan akan nyata beberapa fitnah sehingga berselisih dua orang mengenai faraidh , maka kedua-duanya tidak memperolehi orang yang menghukumkan dan menyelesaikan perselisihan di antara keduanya.” (Ibnu Majah)

Hadith di atas nampaknya memperkatakan apa yang sedang berlaku pada masa ini kerana tidak ramai dikalangan ‘ulama kita yang mahir dalam bidang faraidh. Malah tidak banyak surau atau masjid yang membicarakan tentang ilmu faraidh sebaliknya kuliah-kuliah yang diadakan dikebanyakan masjid berputar disekitar rukun Islam yang lima. Rata-rata seseorang yang ingin mengetahui tentang ilmu faraidh terpaksa menunggu seminar atau bengkel yang jarang sekali di adakan. Ini adalah kerana untuk memahami ilmu faraidh, seseorang itu harus menggarap dengan baik ilmu usul dan ilmu hisab sekali gus.

Mungkin kurangnya kefahaman tentang ilmu faraidh membuat beberapa orang Islam memberikan komen yang negatif terhadap ilmu faraidh. Sebaliknya mereka yang faham tentang ilmu faraidh telah memberikan komen yang baik walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan untuk memperlecehkan hukum Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan;

“Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamaddun.”

Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan;

“Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dalam ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan apa sekalipun, boleh ditentukan.”

Kepentingan ilmu faraidh mendapat tempat di dalam Al-Quran; yang mana Al-Quran sendiri menerangkan dengan agak panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka walaupun ianya bukan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Menurut seorang mufassir yang terkenal, Imam Ibnu Kathir, terdapat tiga ayat utama didalam Al-Quran yang menerangkan tentang pembahagian harta pusaka iaitu didalam surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah berfirman,

“Allah mensyari’atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh seperdua harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagianpembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa’atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(4:11)

Seterusnya dalam ayat 12 Al-Quran menyatakan,

“Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” (4:12)

Kedua-dua ayat tersebut menerangkan dengan panjang lebar tentang bahagian-bahagian yang diperuntukkan kepada ibu, bapa, serta isteri atau suami. Ayat 12 juga menerangkan bahagian saudara kandung seibu, samada lelaki atau perempuan. Walaupun kedua-dua ayat tersebut agak jelas, namun kefahaman tentang ilmu faraidh itu bergantung daripada satu lagi sumber syariah : iaitu As-Sunnah atau dikenali juga dengan Al-Hadith. Berdasarkan kepada Al-Quran, Al-Hadith dan ijmak serta pandangan dan pendapat para sahabat (ijtihad), para ulama kita telah membuat beberapa rumusan bagi memudahkan orang awam untuk memahami ilmu yang sangat penting ini.

Nabi S.A.W memberi perangsang dan galakan kepada umat Islam agar mempelajari sistem perwarisan ini. Baginda S.A.W juga memberi amaran agar kita tidak mengabaikan ilmu ini. Baginda bersabda :

“Hendaklah kamu pelajari ilmu faraidh, maka sesungguhnya ilmu faraidh adalah suruhan dari agama kamu dan bahawasanya ilmu faraidh adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut dari umatku.”
(Riwayat Ahmad)

Ilmu ini disebut sebagai setengah daripada ilmu kerana manusia terbahagi kepada dua keadaan iaitu keadaan hidup dan keadaan mati. Seperti mana yang kita tahu keadaan hidup berkaitan dengan sembahyang, zakat dan sebagainya. Sementara keadaan mati berkaitan dengan pusaka, wasiat, warisan dan sebagainya.

Islam adalah kunci penyelesaian kepada segala masalah termasuk pertikaian mengenai harta peninggalan. Justeru, sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita mempelajari dan mengajari ilmu pewarisan harta ini sebelum terlambat. Wallahua’lam.

Categories: Ilmiah
  1. khadijah mohd
    February 20, 2014 at 6:19 am

    Assalamualaikum Wrt… maaf bertanya.. saudari ini graduan Syajarah Al-Mirats berguru dengan Al-Fadhilm Al-Ustaz Jabal Alamsyah?? saya Khadijah Mohd dari Penang, malaysia Graduan 26 syajarah Al-Mirats.. dan sekarang dah 2tahun bersama ustaz jabal Roadshaw di sekitar penang dan beberapa negeri di malaysia… no contact 019-5066320

  2. khadijah mohd
    February 20, 2014 at 6:34 am

    Tengok muka, kenal ni kak qema..kawan kak hanis.. MPC kan??Allahhhh…

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: