Home > Ilmiah, Mari Belek Kitab > Bacalah Kitab: Agama dan Politik – Dr Yusof Qaradhawi (Bab 2)

Bacalah Kitab: Agama dan Politik – Dr Yusof Qaradhawi (Bab 2)

dipetik dari nikabduh.wordpress.com

Bab Kedua

Hubungan antara agama dan politik di sisi ulama Islam dan golngan sekular

Apabila kita telah pun memahami maksud ad din dan as siasah sebagaimana di atas, maka bolehlah kita memahami hubungan antara kedua -duanya.

Adakah kedua – duanya saling bertentangan sehingga tak boleh bersama, atau saling berkaitan sehingga tak mungkin dipisahkan antara kedua – duanya, atau lebih merupakan hubungan persefahaman dan persepakatan sebagaimana berpakatnya dua individu yang berbeza fahaman untuk saling hidup bersama?

Pandangan golongan sekular

Golongan ini tidak melihat selain pertentangan dan pemisahan. Agama satu perkara, manakala politik adalah musuhnya. Sumber, tabiat dan tujuan saling berbeza. Agama itu daripada Allah, manakala politik adalah daripada manusia. Agama adalah suci manakala politik adalah kotor. Maka sayugialah ugama dibiarkan untuk ahlinya manakala politik untuk ahlinya jua.

Mereka menolak pemikiran kesyumulan dan kesempurnaan Islam. Mereka mahu akidah tanpa syariat, ibadat tanpa muamalat, dakwah tanpa daulah dan kebenaran tanpa hak.

Mereka ini akhirnya telah membentuk kesan pemikiran dan tindakan bahkan terus menjadikannya tumpuan mereka, antaranya:

1) Mengingkari fikrah kesyumulan Islam.

2) memisahkan ugama daripada politik dan begitulah sebaliknya.

3) Mencerca para pendakwah kepada pelaksanaan syariah Islamiyyah dengan tohmahan dan gelaran ‘Islam politik’.

4) Mendakwa ugama mengikat politik dengan teks nas – nas yang tidak selari dengan maslahat dan kepentingan umat. Justeru umat akan hilang kebaikan yang banyak.

5) Menumpukankan perbahasan mengenai politik antara kejumudan dan kemajuan.

Kita akan membincanginya pada fasal seterusnya, insya Allah.

Fasal 1:

Mengingkari Fikrah Islam Yang Syumul ( menyeluruh )

Mengapakah para ulama Islam mencampurkan politik dengan ugama?

Pemikiran ‘Islam yang syumul’ yang diingkari oleh golongan sekular dan Marxis sebenarkan telah diterima secara sepakat oleh para ulama Islam dan pejuangnya sebagaimana waqi’ yang dapat dilihat hari ini.

Kita saksikan bahawa golongan pembaharu/pengislah di zaman moden ini, bermula daripada Ibnu Abdil Wahhab, al Mahdi, Khairuddin at Tunisi, as Sanusi, al Amir Abdul Qadir dan Jamaluddin al Afghani, seterusnya al Kawakibi, Muhammad Abduh, Syakib Arsalan, Rasyid Ridha, Hasan al Banna di Mesir, juga Ibnu Badis dan rakan – rakannya di Aljeria, Ilal al Fasiy di Maghribi, al Maududi di Pakistan dan lain – lain semuanya telah menerima ‘Islam yang syumul’ dalam akidah dan syariat, dakwah dan daulah serta ugama dan politik.

Bahkan, bukan setakat buah pemikiran, malah mereka sendiri terpaksa menempuh debu – debu politik secara praktikal dan menanggung segala ujian dan kesusahan. Mereka melakukannya kerana 3 sebab utama:

1) Menyeluruhnya pengajaran Islam:

Islam yang disyara’kan Allah, tiada satu pun aspek kehidupan kecuali dinyatakan hukum – hakam dan arahannya. Ia merangkumi setiap aspek kehidupan; jasmani dan rohani, individu dan masyarakat.

Lihat firmanNya: an Nahli: 89. Lihatlah dalam al Baqarah: 183, 178, 180 dan 216 bagaimana Allah mewajibkan perkara – perkara tersebut hanya menggunakan satu perkataan yang sama iaitu ’diwajibkan’ ( kutiba ) ke atas kamu’.

Perkara – perkara itu adalah puasa ( ibadat ), qisas ( jenayah ), wasiat ( kekeluargaan Islam ) dan peperangan ( politik negara ). Maka bagaimanakah boleh dibayangkan seorang mukmin menerima ibadat puasa sahaja dan menolak yang lain, sedangkan Allah menggunakan kalimah mewajibkan ( kutiba ) yang sama sahaja.

Syariah Islamiyah menghukum setiap perbuatan mukallaf. Tiada satu perbuatan atau kejadian kecuali adalah sahaja hukum syariat yang lima itu berlaku, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus sebagaimana yang telah diterima pakai oleh ulama usul dan fuqaha daripada segenap kumpulan dan mazhab Islamiyah.

Dalil kesyumulan daripada al Quran: an Nahli: 89 dan Yusuf: 111.

Telah pasti bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak pernah membiarkan sesuatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah atau menjauhkan diri daripadaNya kecuali akan disuruh atau dilarangNya jua sehinggalah Islam itu menjadi begitu jelas, malamnya seperti siang.

Islam adalah risalah kehidupan seluruhnya. Ia adalah risalah manusiawi, alami dan sepanjang zaman.

Sesiapa yang membaca buku – buku fiqh Islami dalam pelbagai mazhabnya pasti mendapati rangkumannya terhadap seluruh aspek kehidupan. Ia dapat sahaja diperhatikan oleh pelajar baru, apatah para ulama.

2) Islam menolak pemecahan hukum – hakamnya

Agama Islam sedari awal menolak pemecahan hukum – hakamnya kepada bahagian – bahagian yang terpisah – pisah dengan mengambil atau menolak sebahagiannya.

Al Quran secara keras mengingkari Bani Israel yang mengambil jalan ini. Lihat al Baqarah: 85.

Apabila segolongan Yahudi berhasrat memeluk Islam dengan mensyaratkan mereka boleh mengamalkan sebahagian syariat mereka seperti keharaman ( kemuliaan ) hari Sabtu, RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam menolaknya sama sekali. Kerana itulah Allah menurunkan ayatNya: Lihat al Baqarah:208.

Allah memerintahkan RasulNya dengan firmanNya: Lihat al Maidah:49.

Dalam ayat ini Allah mengingatkan rasulNya akan golongan bukan Islam yang mungkin memesongkannya daripada sebahagian hukum Islam. Ia adalah juga arahan ke atas seluruh orang yang memerintah umat Islam selepasnya.

Hakikatnya, pengajaran Islam dan hukum – hakamnya tidak akan memberikan hasil terbaiknya sehinggalah dilaksanakan sepenuhnya. Sebahagiannya mengikat sebahagiannya.

Ia sepertilah kaedah pengubatan yang menyeluruh seperti pengambilan ubat yang pelbagai, sekatan dan pantang serta mengadakan latihan tertentu. Ia mesti dilakukan semuanya. Jika tidak, ia gagal memberi kesan.

3) Kehidupan itu satu, tidak berjuzu’ – juzu’.

Kehidupan adalah satu dan sepadu. Maka kehidupan tidak mungkin jadi baik jika Islam datang hanya untuk menyelesaikan sebahagian aspek sahaja seperti masjid dan kelas – kelas pengajiannya. Aspek – aspek lain ditinggalkan untuk disudahkan oleh mazhab, pemikiran dan falsafah manusiawi.

Mana mungkin Islam menguruskan masjid, sedangkan sistem manusiawi yang sekular menguruskan  sekolah, universiti, radio televisyen, mahkamah, teater dan lakonan serta pasar dan jalan raya. Ringkasnya, kehidupan seluruhnya!

Begitulah juga jika hanya urusan rohani sahaja diselia oleh ugama, manakala urusan fizikal, akal dan emosi manusia pula diseliakan oleh negara tanpa ugama, ia pasti gagal.

Manusia itu satu yang tidak boleh dijuzu’ -juzu’kan. Begitulah kehidupan.

Bahkan semua falsafah, ideologi dan fahaman revolusi dan perubahan di dalam sejarah lalu dan juga dunia hari ini menyaksikan bagaimana mereka memiliki acuan pandangan yang menyeluruh. Justeru mereka menolak untuk membelah – belah kehidupan. Mereka tidak hanya menguasai sebahagian dan membiarkan yang lain. Bahkan mereka menguasai semuanya dan mendorongnya kepada falsafah dan ideologi masing – masing.

Inilah tabiat ideologi perubahan seluruhnya. Maka mengapakah pula Islam dituntut – sedang ia adalah satu risalah yang menyeluruh – menghadkan kerjanya setakat menjaga masjid dan mahkamah syariah sahaja? Bahkan mungkin sehaja masjid dan mahkamah syariah pun akan dipaksa mengikut telunjuk golongan sekular ini ( seperti di negara kita – pent )?

Agama Masihi sendiri yang mengatakan, ” Biarkan hak raja itu untuk raja dan biarkan hak Allah itu untuk Allah” pun apabila memiliki kuasa dan peluang, mereka tidak pula menyerahkan kuasa itu kepada raja, bahkan merekalah yang memegangnya dan menentukan arah kehidupan seluruhnya berdasarkan apa yan mereka imani.

Jika begitulah Masihi, bagaimana pula dengan Islam yang tidak pernah memisahkan antara jasad dan ruh dan tidak pula memisahkan hak di antara raja dan Allah, bahkan menjadikan raja dan hak raja sebagai hak Allah belaka.

Firman Allah: ” Apakah mereka menuntut hukum jahiliyah? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah, bagi orang – orang yang yakin.” – al Maidah:50

Berkata al Ustaz Doktor Muhammad al Bahiy ( al Fikr al Islami al Hadith.. ) ketika mengkritik pendapat Doktor Ali al Raziq dalam bukunya ( al Islam wa Usulul Hukm ) yang menyarankan pemisahan antara ugama dan negara:

( Jawaban beliau adalah berasaskan pemikiran kurun pertengahan yang memisahkan antara fizikal dan rohani penciptaan manusia. Itulah pemikiran yang menerajui orang Eropah masa itu yang akhirnya mendorong kepada pemisahan antara negara dan gereja./

Pemikiran pemisahan ini adalah sama dengan pemikiran golongan falsafah Islam atau Masehi di zaman kurun pertengahan yang mereka warisi daripada pemikiran falsafah lama/Yunan dalam isu ketuhanan dan kemanusiaan./

Pemikiran pemisahan antara ruh dan jasmani manusia di sisi ilmu kajian ilmiah moden hari ini adalah pandangan yang tidak lagi boleh diterima akal yang sihat. Manusia dalam kajian ilmiah hari ini adalah satu, tak boleh dijuzu’ – juzu’kan. Paling terjamin, ia mestilah dipimpin oleh satu qiadah/ kepimpinan./

Pengalaman pembahagian kuasa antara kerajaan dan gereja dulu tidak hanya mencetuskan perselisihan antara keduanya, bahkan telah mengakibatkan salah satu akan menundukkan yang satu lagi. Dan pastinya negaralah yang akan menundukkan gereja dengan kekuatan mereka menguasai massa./

Walaupun pemikiran jenis ini telah terbukti salah di sisi kajian ilmiah dan juga pelaksanaan amali, para penyeru kepada pemikiran ini daripada kalangan pemikir Islam masih terus menganggap ‘penyatuan’ pada manusia dan kepimpinan sebagai mundur! Ini semata – mata kerana ia bersumber daripada pemikiran asas Islam! )

4) Kepentingan wujudnya sebuah negara untuk menjayakan matlamat:

Ini faktor amali yang tidak boleh diingkari lagi, bahawa manusia sejak dulu telah mengetahui keperluan wujudnya sebuah negara atau kuasa politik ( kerajaaan ) untuk menjayakan matlamat tertentu, melaksanakan undang – undang, mengajar dan memelihara ummah daripada kerosakan. Kerana itulah, Khalifah ketiga, Uthman bin Affan telah berkata, ” Sesungguhnya Allah akan mencabut dengan kuasa apa yang tidak boleh dicabut dengan al Quran.” – ( al Bidayah wa an Nihayah )

Apatah di zaman moden ini, sebuah negara itu memegang tampuk seluruh aspek kehidupan di tangannya, suatu yang tidak mungkin dikuasai sepenuhnya oleh mana – mana kerajaan zaman lampau. Mereka menguasai undang – undang, kebudayaan, masyarakat, ekonomi dan lain – lain. Ini adalah antara ciri istimewa kerajaan moden hari ini.

Justeru mana mungkin golongan dakwah dan islah boleh membiarkan negara dikuasai oleh golongan sekular untuk melakukan apa sahaja termasuk dengan senangnya ( kerana mereka memiliki kuasa negara ) meruntuhkan kebaikan dan kebajikan yang telah dibina oleh golongan dakwah dan islah tersebut. Meruntuh pula lebih senang daripada membina.

Sesungguhnya daulah Islam kita dahulu yang diperintah oleh seorang khalifah tertinggi tidaklah mampu menguasai seluruh aspek kehidupan rakyatnya, bahkan kuasanya hanya terhad dalam menguasai bandar dan kota – kota besar sahaja. Adapun ummah di luar seluruhnya , kehidupan mereka dikuasai oleh Islam yang diketuai sebahagian besarnya oleh para ulama.

Pendidikan mereka dikuasai ulama dengan mengajarkan mereka Islam, bahasa, adab, sejarah dan apa sahaja yang mereka mahu.

Undang – undang juga di tangan ulama dengan melaksanakan hukum – hukum ke atas mereka.

Demikian juga urusan fatwa sebagai rujukan dan urusan waqaf dan kebajikan, semuanya dikuasai oleh para ulama yang mengurus politik rakyat setempat ( tanpa gangguan dan tekanan khalifah ).

Ummah tetap berpegang dengan ugamanya saat pemerintah dan negara menyeleweng daripada ugama, bahkan ummah juga terus tetap dengan ugamanya saat negara khalifah rebah dan tewas. Ia terus gagah dengan institusinya itu saat negara khilafah dirundung keruntuhan dan kelemahan.

Tetapi di zaman moden hari ini, kekuatan ummah itu telah beralih dan dikuaai sepenuhnya oleh kerajaan dan negara. Negaralah yang meguasai undang – undang, pendidikan, kesihatan, ketenteraan dan seluruhnya.

Justeru bagaimanakah para pendakwah dan pengislah boleh melaksanakan islah dan pembaikan di saat pemerintah bergerak dari arah yang bertentangan? Kita menghidupkan dan mereka mematikannya, kita mengumpul dan mereka memecahkannya pula?

Bayangkan kita hanyalah rakyat, sedang mereka adalah kuasa!

Inilah sebenarnya yang menjadikan para pengislah dan pengasas gerakan – gerakan Islam terpaksa menempuh peperangan politik dan mereka menuntut islam dengan jalan menegakkan daulah Islamiyah yang akan menjayakan firman Allah:

” Dan orang – orang yang jika kami kurniakan mereka kekuasaan di bumi ini, mereka pasti mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada al makruf dan menahan daripada kemungkaran.” – al Hajj:41

Tiadalah perlu mereka sendiri yang memegang kuasa itu jika mereka telah mendapati orang lain mampu memerintah dengan rukun dan syarat Islam tersebut. Jika pemerintah kini melaksanakan Islam, alangkah eloknya di sisi mereka.

Jika mereka enggan atau tidak bersedia, maka menjadi kewajiban ke atas para pendakwah dan pengislah untuk bangun melaksanakan tuntutan itu. Awalnya hendaklah mereka menyediakan modal insan, jentera fizikal dan ransangan sosial yang akan membantu menjayakan matlamat ( negara Islam ). Ia tak selesai dengan hanya berangan – angan dan berbuih kata.

Categories: Ilmiah, Mari Belek Kitab
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: