Alhamdulillah. Untuk posting kali ini saya masukkan artikel yang telah saya Malaysiakan bahasanya iaitu berkenaan fatwa mengenai purdah yang dikeluarkan oleh Mufti Mesir, Dr ‘Ali Jum’ah dari Dar Ifta’ Misr. Semoga anda lebih jelas-sejelasnya dan mendapat manfaat. Klik untuk sumber.
……………………………………………………………………………..
Nombor Urutan : 273
Judul : Memakai Purdah
Tarikh Jawapan : 07/10/2004
Pertanyaan:
Memperhatikan permintaan fatwa dengan No. 2341 tahun 2004 yang berisi:
Apakah memakai purdah hukumnya wajib? Ada sebahagian ulama yang mewajibkannya dengan berpegang pada hadis Sayyidah Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa dia menutup wajahnya ketika sedang melakukan haji dan berpapasan (lalu) dengan rombongan orang asing, sampai rombongan tersebut menjauh.
Jawapan:
Mufti Agung Prof. Dr. Ali Jum’ah Muhammad:
Pakaian islamik yang diwajibkan ke atas perempuan muslimah adalah semua pakaian yang tidak membentuk lekuk badan (tidak ketat), tidak jarang, serta menutupi seluruh tubuh, kecuali wajah dan kedua telapak tangan. Tidak ada larangan baginya untuk memakai pakaian yang berwarna dengan syarat tidak menjolok mata, menarik perhatian atau memikat lawan jenis. Bila syarat-syarat ini dapat terealisasi pada suatu jenis pakaian tertentu, maka seorang muslimah boleh memakainya dan menggunakannya untuk berpergian (keluar rumah).
Adapun hukum memakai purdah yang menutup wajah bagi perempuan dan sarung tangan yang menutup kedua telapak tangannya, maka menurut jumhur (majoriti) ulama adalah tidak wajib. Sehingga, seorang muslimah boleh membiarkan wajah dan kedua telapak tangannya terbuka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT;
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” (An-Nûr: 31).
Jumhur ulama dari kalangan sahabat dan para ulama setelah mereka menafsirkan “perhiasan yang biasa nampak” dalam ayat di atas dengan wajah dan telapak tangan. Penafsiran ini diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Anas dan Aisyah radhiyallahu ‘anhum.
Jumhur ulama juga berpegang pada ayat:
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung (khumur) ke dadanya (juyûb).” (Al-Ahzâb: 59).
Al-Khimâr adalah penutup kepala atau tudung. Sedangkan al-jaib adalah bahagian pakaian yang terbuka di atas dada. Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan seorang muslimah untuk menutup dadanya dengan tudung. Seandainya menutup wajah merupakan suatu kewajiban, nescaya ayat tersebut juga akan menjelaskannya secara jelas.
Sedangkan dalil dari Sunnah adalah hadis yang diriwayatkan Aisyah R.A, bahawa Asma’ binti Abu Bakar mengunjungi Rasulullah SAW dengan mengenakan pakaian yang tipis. Rasulullah SAW pun berpaling darinya seraya bersabda;
يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيْضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا
“Wahai Asma’ , seorang perempuan jika telah mencapai masa haid, tidak boleh ada yang terlihat darinya selain ini dan ini.” Baginda mengatakan demikian sambil menunjuk wajah dan telapak tangannya. (HR. Abu Dawud).
Dan masih banyak dalil lain yang secara tegas menjelaskan tidak wajibnya menutup wajah dan kedua telapak tangan.
Di lain pihak, ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa seorang muslimah wajib menutup wajahnya. Mereka berpegang pada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a., bahawa dia berkata:
“Rombongan-rombongan haji melintasi kami yang sedang dalam keadaan ihram bersama Rasulullah SAW. Jika salah satu rombongan itu sejajar dengan kami, maka setiap orang dari kami akan menurunkan jilbabnya dari arah kepalanya untuk menutupi wajahnya. Bila mereka telah menjauh dari kami, maka kami membuka wajah kami kembali.”
Hadis ini tidaklah menunjukkan kewajipan menutup wajah bagi perempuan, kerana perbuatan sahabat sama sekali tidak menunjukkan suatu kewajipan. Hadis ini juga tidak menutup kemungkinan dikhususkan untuk para Ummul Mukminin (para isteri Rasulullah SAW), sebagaimana kekhususan larangan menikahi mereka setelah Rasulullah SAW wafat. Di samping itu, sebagaimana diketahui dalam ilmu Usul Fiqh, bahawa peristiwa-peristiwa peribadi yang mempunyai hukum khusus untuknya, jika mengandungi kemungkinan-kemungkinan hukum yang berbeza, maka ia mengandungi makna global (ijmâl), sehingga tidak boleh digunakan sebagai dalil;
(inna waqâi’ al-ahwâl idzâ tatharraqa ilaihâ al-ihtimâl, kasâhâ tsaub al-ijmâl, fa saqatha bihâ al-istidlâl).
“ أن وقائع الأحوال ، إذا تَطَرَّقَ إليها الاحتمال ، كَسَاها ثَوْبَ الإجمال ، فَسَقط بها الاستدلال “
Imam Bukhari, dalam kitab Shahih-nya, meriwayatkan dari Ibnu Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
لاَ تَنْتَقِبُ الْمَرْأَةُ اْلمُحْرِمَةُ وَلاَ تَلْبَسُ الْقَفَّازَيْنِ
“Seorang perempuan yang sedang melakukan ihram tidak boleh memakai purdah dan sarung tangan.”
Hadis ini menunjukkan bahawa wajah dan kedua telapak tangan wanita merdeka bukanlah aurat. Bagaimana mungkin keduanya adalah aurat, padahal para ulama telah sepakat atas kewajipan membukanya ketika sedang melakukan solat dan berihram. Kerana sebagaimana yang diketahui, syariat tidak mungkin membolehkan membuka suatu aurat ketika solat, lalu mewajibkan untuk menutupnya ketika berihram. Hal-hal yang dilarang dalam ihram pada asalnya adalah hal-hal yang dibolehkan, misalnya memakai pakaian berjahit, minyak wangi, berburu dan lain-lain. Tidak satu pun dari hal-hal yang dilarang itu awalnya adalah wajib lalu diharamkan kerana ihram.
Kesimpulannya, menutup wajah dan telapak tangan bagi seorang wanita muslimah hukumnya tidaklah wajib, melainkan hanya termasuk dalam wilayah kemampuan. Sehingga jika dia menutup wajah dan kedua telapak tangannya, maka hukumnya dibolehkan. Dan bila dia hanya mengenakan pakaian muslimah sahaja, tanpa menutup wajah dan telapak tangannya, maka dia telah melakukan kewajipan menutup aurat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Wallahu subhânahu wa ta’âlâ a’lam.
Recent Comments